Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Monday, July 26, 2010

Malam Nisfu Sya'ban dan Puasa Sya'ban


Berikut dinukilkan beberapa hadis untuk renungan dan amalan kita bersama.. Insyaallah.

1.
Daripada Makhul daripada Malik bin Yakhamir daripada Muaz bin Jabal daripada Nabi S.A.W telah bersabda: Sesungguhnya Allah ta’ala memerhati makhlukNya pada malam nisfu (pertengahan) daripada Sya’ban maka Dia akan mengampuni semua makhlukNya melainkan orang yang syirik atau orang yang bermusuhan.
( Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Ibn Habban, Al-Baihaqi dan At-Thobarani )


2. Abdullah bin Maslamah menyampaikaan kepada aku dari Malik, dari Ibnu Syihab, dari Abi Salamah dan ayahku Abdullah Al-Agharry, dari Abu Hurairah ra sesungguhnya Rasulullah saw bersabda (bermaksud) “Tuhanku tabaaraka wa taala turun ke langit dunia setiap malam bila tinggal 1/3 akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada aku, untuk Aku memperkenankan doanya ? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk Aku berikan kepadanya ? Mana orang yang memohon keampunan Ku, untuk Aku mengampuninya ? (Hadis Sahih No. 1145 riwayat Imam Al-Bukhari).

3. Abu Mikmar menyampaikan kepada kami dari Abdul Warith, dari Abu At-Tayyah, dari Abu Uthman, dari Abu Hurairah ra. berkata (bahawa) kekasihku (Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari setiap bulan (13, 14 dan 15hb), 2 rakaat Dhuha dan Solat Witir sebelum aku tidur”. (Hadis Sahih No. 60 riwayat Imam Al-Bukhari).

4. Abdullah b Yusuf menyampaikan kepada kami, dari Malik, dari Abi An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah ra. dia berkata (bermaksud), “Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Hadis Sahih No. 1969 riwayat Imam Al-Bukhari).


Di dalam Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari di atas, tidak disebut secara khusus puasa sunat hari Nisfu Syaaban ie. 14 atau 15hb Syaaban, namun disebut secara khusus berpuasa sunat pada 13, 14 dan 15hb setiap bulan yang mana termasuklah didalamnya hari pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban). Di dalam hadis Sahih Al-Bukhari diatas juga tidak disebut secara khusus berqiamullail malam Nisfu Syaaban, tetapi disebut berqiamullail disetiap malam, dan yang mana ini termasuklah malam pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban).


Walau bagaimanapun, apa yang terbaik kepada kita sebagai jalan untuk bertaqarrub kepada Allah ialah dengan membanyakkan amalan sunat seperti berpuasa sunat, qiamulail dan ibadah-ibadah lain, tidak kira sama ada di malam nisfu sya'ban atau tidak. Sebaiknya, umat Islam dituntut beristiqamah dalam beramal walaupun sedikit lebih baik daripada melakukan ibadah secara bersungguh-sungguh pada waktu-waktu tertentu sahaja. Walllahua'lam.

Sumber: ibnuibrahim.blogspot.com

Thursday, July 8, 2010

Menelusuri Falsafah Israk dan Mikraj

Mafhum Firman ALLAH S. W. T. :

“Maha Suci ALLAH yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

(Surah Al-Israa’: Ayat 1).

PERISTIWA Israk dan Mikraj (perjalanan Rasulullah s.a.w. dari Masjidilharam menuju Masjidilaqsa, kemudian mikraj ke Sidratul Muntaha) yang diabadikan di dalam al-Quran merupakan satu proses pengukuhan dan penyucian spiritual Rasulullah pada masa lalu, sekali gus menjadi ‘peristiwa agung’ yang mengandungi makna yang besar untuk dihayati oleh umat baginda pada masa kini.

Meskipun terdapat jurang perbezaan pendapat yang agak luas mengenai sejarah peristiwa Israk dan Mikraj, terutama yang berkaitan dengan ketepatan hari dan bulan serta tahun terjadinya peristiwa agung itu, namun dunia Islam keseluruhannya memperingati tarikh 26 Rejab (malam 27 Rejab) setiap tahun sebagai tarikh penuh bermakna.

Realiti sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun daripada kalangan orang-orang musyrik dan kafir yang percaya akan kejadian Israk dan Mikraj ini. Para ulama merumuskan bahawa sebab dan hikmah daripada Israk dan Mikraj adalah untuk menghibur diri Rasulullah yang ketika itu dilanda kesedihan kerana kematian bapa saudara yang tersayang, Abu Talib serta isteri kesayangan baginda, Khadijah, juga di samping penentangan masyarakat Taif terhadap usaha dakwah baginda yang hampir-hampir meragut nyawa baginda.

Al-Ghazali menjelaskan bahawa kita semua telah memahami bahawa hasil daripada Israk dan Mikraj telah memperlihatkan sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah yang teragung, meskipun hal itu terjadi dua belas tahun setelah pengangkatan (penobatan) Muhammad bin Abdullah sebagai Nabi dan Rasulullah s.a.w.

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan suatu ‘perjalanan agung’ yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa takwa dan keimanan terhadap Allah menerusi sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada Junjungan Besar Muhammad. Oleh hal yang demikian itu, sebarang percanggahan pendapat mengenai peristiwa tersebut harus dilihat dari sudut keimanan dan ketakwaan, bukan terus-menerus memperdebatkannya dengan menggunakan logik akal semata-mata kerana ilmu manusia tidak akan dapat menyaingi ilmu Allah. Dia Maha Agung dan Maha Mengetahui akan setiap apa yang dicipta dan dikehendaki-Nya. Wallahua'lam.

Tuesday, May 4, 2010

Fadhilat Ta'awwuz




Tawwuz ialah ucapan " A'uzubillahi minas Syaitonir Rajim " yang diucapkan sebelum membaca Bismillah apabila kita membuat sesuatu. Ucapan Ta'awwuz itu ibarat meminta izin dan ibarat mengetuk pintu. Seumpama seseorang yang hendak masuk ke istana berkata-kata dengan Raja, maka hendaklah dibersihkan dirinya daripada kekotoran dan begitu juga dengan pembacaan Al Quran. Kerana barangsiapa yang membaca Al Quran, hendaklah dimulai dengan bacaan "A'uzu " yang akan membersihkan lidahnya daripada kekotoran yang dibawa oleh syaitan.


Hukum membaca Ta'awwuz itu sunat dan sunnah. Firman Allah :


" Jika engkau diganggu Syaitan dengan sesuatu gangguan, hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Kerana sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui." ( Al A'raf : ayat 200 )


" Apabila engkau membaca Al Quran, maka ucapkanlah " A'uzubillahi minas Syaitonir Rajim. Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai kekuatan dapat memaksa orang-orang beriman yang bertawakkal kepada Allah" ( An Nahl : 98 - 99)


Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai kekuatan dapat memaksa orang yang beriman kepada Allah untuk masuk ke dalam perangkapnya. Maka pengertian daripada ayat di atas, fahamlah kita bahawa Ta'awwuz seseorang mukmin itu adalah merupakan satu cara untuk bertawakkal kepada Allah s.w.t.


Diterangkan oleh Ibnu Abbas r.a :


" Kebesaran Al Quran itu dengan A'uzubillahi minas syaitonir Rajim dan pembukaan Al Quran itu dengan Bismillahirrahmanirrahim."


Berkata ulama' bahawa A'uzu itu adalah seperti sesapu Al Quran.. Maka setiap orang yang hendak membaca Al Quran, perlulah menyapu hatinya dari segala keraguan dan was-was. Dan berkata Al Hassan bin Abi Tolib : " Barangsiapa yang membaca A'uzubillahi minas Syaitonir Rajim " itu, maka tidak ada jalan Syaitan yang boleh menggodanya."


Kebanyakan hati manusia dikalahkan oleh Syaitan yang telah berjaya menyerap

masuk ke dalam hatinya dengan pengaruh nafsu. Sehingga hati itu memilih

keduniaan dan melupakan akhirat. Hal ini tidak dapat dikalahkan melainkan manusia itu kembali kepada zikir Allah ( mengingati Allah ) dan membanyakkan membaca Ta'awwuz.. Berkata Jabir bin Ubaidah Al Adawi : Saya pernah mengeluh kepada Al A'la bin Ziyad : tentang was-was yang terdapat di dalam dada saya. Maka ia berkata : Bahawa Hati itu umpama sebuah rumah yang dilalui beberapa pencuri. Pencuri-pencuri itu berusaha mencuri apa-apa yang menjadi kegemarannya di dalam rumah tersebut. Tetapi jika di dalam rumah tersebut tidak mempunyai apa-apa, maka pencuri-pencuri itu akan melalui sahaja rumah itu dan akan meninggalkannya. Yakni hati yang bersih daripada syahwat nafsu tidak akan dimasuki Syaitan.








Sunday, February 28, 2010

Peristiwa Menjelang Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W

Pada malam kelahiran Muhammad SAW tampak berbagai tanda-tanda luar biasa. Diantara kejadian itu adalah:

- Bumi digoncang gempa hingga berhala yang terpancang diatas Ka’bah runtuh bergelimpangan.

- Beberapa buah Gereja dan Biara runtuh

- Istana Kisra di Persia retak dan roboh

- Disusul oleh padamnya api sesembahan kaum majusi di Persia. Dengan padamnya api sesembahan mereka yang tidak pernah terjadi sebelumnya ini mereka cemas dan sedih, semuanya menduga bahwa semua tanda yang mereka saksikan itu pasti menunjukkan peristiwa besar di dunia.

(Sumber: Al Hamid al Husaini, 1992, Riwayat Kehidupan Nabi Besar Muhammad SAW, Yayasan al Hamidiy, Jakarta)

Friday, August 7, 2009

Sebab Diturunkan Musibah Kepada Manusia

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidak pernah Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman. (al-Qashash: 59).

Maka tidak dibinasakan kecuali kaum yang fasik. (al-Ahqaf: 35).

Kami telah membinasakan mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berbuat dosa (al-mujrim). (ad-Dukhan: 37).

Sesuai dengan wabak yang melanda umat dunia hari ini iaitu Virus H1N1, maka perlulah kita amati Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: Sesungguhnya di antara tanda-tanda dekatnya hari kiamat ialah hilangnya kemanfaatan ilmu dan makin ketara kebodohan dan banyaknya peminum arak dan meluasnya perzinaan dengan terang-terangan. (riwayat al-Bukhari).

Menurut Imam Baidhawi (Tafsir al-Baidhawi, juz 2, hal. 106) Musibah diturunkan oleh Allah kerana lima sebab.

Pertama, zina dibiarkan berleluasa dan jalan-jalan melakukannya seolah-olah terbentang luas melalui 'iklan' yang disiarkan. Apabila berlaku begini, akan diturunkan penyakit taun kepada sesuatu kaum itu.Para ulama moden mengkiaskan taun itu sebagai wabak penyakit baru seperti meningitis, hepatitis, Aids, lembu gila, selesema burung dan H1N1. Sebelum ini, kita tidak pernah mendengar tentang penyakit-penyakit tersebut. Punca utamanya adalah zina terlalu berleluasa.

Kedua, berlaku kemarau disebabkan umat Islam tidak menunaikan zakat. Malah ulama menyebut, jika bukan kerana binatang dan tumbuh-tumbuhan yang melata, tentulah Allah tidak menurunkan walau setitik pun hujan di muka bumi ini.

Ketiga, perbuatan menipu dalam timbangan atau sukatan. Maka, Allah akan menimpakan inflasi menyebabkan kita sentiasa berasa tidak cukup walaupun dikurniakan rezeki.

Keempat, apabila kita tinggalkan undang-undang Allah maka musuh-musuh Islam akan berkuasa melakukan apa sahaja ke atas umat Islam. Ini termasuk merampas harta dan kita hanya boleh melihat tanpa boleh berbuat apa-apa.

Kelima, lanjutan daripada itu Allah akan menimbulkan prasangka antara satu sama lain di kalangan umat Islam. Menyebabkan kita tidak boleh bersatu.Apakah prinsip yang perlu ada bagi umat Islam apabila berhadapan dengan musibah seperti H1N1 sekarang?

Sesungguhnya, musibah maupun azab yang ditimpakan Allah SWT kepada manusia ditujukan agar mereka kembali mentauhidkan Allah SWT. Dan menjalankan seluruh syariat-Nya dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat. Wallahua'lam.

Tuesday, June 9, 2009

Manfaatkan Cuti Sekolah Anak-anak

"Anak-anak adalah ibarat kain yang putih, ibubapanyalah yang mencorakkannya...."

Anak-anak memang mahu bebas daripada belenggu buku-buku sekolah.Mereka mahu berseronok setelah penat mentelaah pelajaran sepanjang tahun.Tentunya bercuti merupakan terapi yang paling mujarab untuk menghilangkan segala stress atau tekanan yang dihadapi oleh setiap pelajar.

Belumpun sesi persekolahan ditutup, ada dalam kalangan anak-anak yang sudah mengatur rancangan.Anak-anak yang berada di sekolah rendah lazimnya akan meminta supaya mereka dibawa melancong oleh ibu bapa. Kalaupun tidak jauh, (semuanya bergantung kepada kemampuan ibu bapa) kemungkinan juga taman rekreasi atau tempat-tempat riadah terdekat jadi pilihan.

Namun, tidak hairan juga ada dalam kalangan anak-anak yang tidak tahu apa aktiviti-aktiviti yang ingin dilakukan pada waktu cuti ini.Dalam fikiran mereka hanya hiburan dan keseronokan yang dicari.

Sebenarnya, ,sebagai ibu bapa. seharusnya kita mengajar anak-anak kita supaya menggunakan masa dengan bijak.Masa cuti sekolah bukan semata-mata untuk berseronok dan melupakankan terus pelajaran..Ibu bapa perlulah mengambil peluang ini untuk mengatur program-program yang bermanfaat buat anak-anak Jadilah ibu bapa yang prihatin dan mengambil berat terhadap anak-anak. Rancanglah sesuatu agar dapat memanfaatkan cuti sekolah anak-anak dengan sebaik-baiknya. Jangan biarkan mereka sendiri yang menguruskan masa cuti tanpa sebarang pemantauan atau panduan daripada ibu bapa hatta yang sudah berumur belasan tahun sekalipun..

Bagi meningkatkan prestasi anak-anak dan tdak membiarkan mereka terus melupakan pelajaran, ibu bapa boleh mengatur kelas tambahan untuk anak-anak pada waktu cuti ini Siapa yang tidak ingin melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran? Namun agak melampau kiranya kita memaksa anak terus mengikuti kelas tambahan sepanjang cuti sekolah ini tanpa ada peluang untuk berehat.

Ibu bapa boleh juga menghantar anak-anak mengikuti program-program motivasi. Banyak program motivasi yang dianjurkan oleh pihak swasta seperti Kem Tahfiz, Summer Camp dan sebagainya.

Andai ibu bapa tidak mampu untuk membawa anak-anak ke mana-mana. sekalipun, masih ada banyak aktiviti yang dapat dilakukan bersama-sama anak-anak di rumah.. Sekiranya kita pandai memanfaat waktu yang ada di rumah, rumah akan menjadi tempat yang paling sesuai untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.Jadikanlah rumahku syurgaku buat anak-anak.
Ibu bapa boleh mengisi masa cuti sekolah dengan mentarbiahkan anak-anak menjadi muslim yang sejati. Peluang untuk mendekatkan anak-anak kepada Allah seharusnya tidak kita sia-siakan. Waktu cuti inilah waktu yang paling sesuai untuk kita melaksanakan pemurnian solat anak-anak.Hal ini penting untuk memastikan bahawa anak-anak menjaga solat mereka, baik dari segi bacaan dalam solat ataupun dari segi kekusyukan dan keikhlasan dalam bersolat.

Dalam pada itu, luangkan masa untuk membaca Al-Quran bersama-sama anak-anak. Perbetulkan bacaan anak-anak sekiranya anak melakukan kesilapan.Sekiranya ibu bapa juga mempunyai kelemahan dalam membaca Al-Quran, jangan berasa malu. Akui kelemahan diri dan nasihati anak supaya jangan malu jika mereka tidak tahu tentang sesuatu perkara.Yang penting ialah kita belajar dan berusaha memperbaiki kelemahan kita.

Selain pengisian ilmu keagamaan, apabila bercuti kita boleh mengajak anak-anak melakukan kerja-kerja rumah bersama-sama kita.Latih mereka untuk membantu kita di rumah.Bagi anak-anak lelaki, bapa boleh mengajarkan kemahiran-kemahiran seperti bertukang atau melakukan kerja-kerja yang lebih berat.

Bagi anak-anak peermpuan pula, ibu boleh mengajar anak-anak perempuan mereka menguruskan rumah. Memasak, mengemas rumah, menyidai kain dan menghiasi halaman rumah juga boleh dilakukan. Secara tidak langsung kita memberikan pendidikan tidak formal kepada anak-anak.

Gunakanlah masa dengan sebaiknya. Ajarlah anak-anak menghargai masa dengan mengisinya secara berfaedah.

Firman Allah dalam surah Al-Asr, ayat 1-3 yang bermaksud:

“ Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian.Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."

Anak-anak masih kurang matang dalam berfikir. Jangan jadikan diri kita dan anak-anak kita dalam kalangan orang-orang yang rugi lantaran tidak memanfaat masa sebaik-baiknya. Anak-anak masih memerlukan panduan dan tunjuk ajar daripada ibu bapa. Bantulah anak-anak dalam usaha mereka mengisi masa dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. tetapi juga menyeronokkan serta memberikan pengalaman-pengalaman baru kepada mereka. Anak-anak akan lebih menghargai ibu bapa andai ibu bapa juga menunjukkan yang mereka dihargai. Sekiranya kita menemani anak-anak meniti usia muda mereka , anak-anak juga akan menemani kita waktu kita meniti usia tua kita. Insyaallah.

Wallahu a'lam..

Wednesday, May 13, 2009

Keistimewaan Doa Waktu Bersujud

Sewaktu bersujud, kita berada amat hampir dengan Allah. Katakanlah apa sahaja di dalam hati hajat kita sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s. a. w. yang biasa memanjangkan sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa didalamnya.

Sabda Rasulullah s. a. w :- “Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya.”

Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah untuk kita ikuti. Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat.
“Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, imam yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar.”

Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredhaan Allah dunia dan akhirat. Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya. Rasulullah s. a. w biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya baginda bersujud.
Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebut oleh baginda dalam sabdanya yang bermaksud:-

“Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat”
Mendengar itu para sahabat bertanya: “Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?”

Jawab baginda: “Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pulaterdapat sekor kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?”

Sahabat Menjawab: “Bahkan !” Rasulullah menyambung: “Kerana sesungguhnya pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berser- seri) disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka ( terutama anggota wudu’) putih berseri-seri oleh cahaya wudhu’ !!!”KEISTIMEWAANNYA———————Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya. Rasulullah s. a. w. bersabda yang bermaksud:-

“Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supayamengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah menegah neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud”

Begitulah Allah memuliakan hamba-Nya yang bersujud. Orang yang sujud mendapat keistimewaannya apatah lagi di dalam sujud itu kita berdoa. Sudah tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba yang benar-benar mendapat rahmat.
Wassalam.

“Tunjangkanlah resah mu di dada SOLAT, Himpunkan perit mu di genggaman DOA; Tutupi kekecewaan mu dgn keTAQWAan dan Nilaikan kesucian hati mu dgn keIKHLASAN hati.”

Dipetik dari: http://smzblog.wordpress.com

Tuesday, February 10, 2009

Bahaya Makan Berlebihan

MANUSIA perlu makan secukupnya bagi membina kecergasan tubuh badan tetapi tidak digalakkan berlebihan. Ulama dahulu ada mengatakan, makan secara berlebihan akan menimbulkan enam akibat buruk, iaitu:

Menghilangkan rasa takut hati kepada Allah.

Melenyapkan rasa kasih sayang kepada makhluk Allah daripada hatinya kerana individu terbabit selalu beranggapan semua makhluk dalam keadaan kenyang.
Berat untuk melakukan ketaatan. Tidaklah sebuah bekas dipenuhi barang melainkan akan menjadi berat dan sukar untuk bergerak.

Telinganya tidak mahu mendengar nasihat dan hatinya tertutup untuk menerima nasihat.

Jika ia menasihati tidak akan berbekas pada hati orang yang dinasihati.

Menimbulkan banyak penyakit.

Kata Lukman al-Hakim: “Jika perut dipenuhi dengan makanan, fikiran akan tertidur, jauh daripada hikmah dan anggota badan akan malas diajak beribadat.”

Wednesday, September 3, 2008

Jom Tingkatkan Amal di Bulan Mulia


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Sunday, July 27, 2008

Sifat Qudrah (Berkuasa)

Qudrah ertinya berkuasa. Sifat yang qadim lagi azali yang berdiri pada zat ALlah ta'ala. Sifat ini memberi erti bahawa ALlah Robbul Jalil mempunyai kuasa untuk mengadakan atau meniadakan sesuatu yang mumkin (berkemungkinan) dengan berkesan, selaras dengan iradah-Nya (kehendak ALLah).

Kekuasaan ALlah memerintah dan mentadbir sekalian makhluk-Nya dengan sendirinya. ALLah berkuasa untuk menentukan dan mengubah perjalanan alam dan seluruh makhluk tanpa kecuali. Dan ALlah jualah yang menentukan dan mengubah nasib manusia.

Perbezaan di antara qudrah (kuasa) ALlah ta'ala dengan qudrah manusia.

Qudrah ALLah ta'ala

1. Qadim lagi azali (memang sudah ada pada zat ALLah ta'ala)
2. Hakiki (berkuasa mutlaq)
3. Memberi kesan dan bekas
4. Bersendiri (Tidak dikongsi dengan apa juapun)
5. Tiada batasan


Qudrah manusia

1. Baharu (akan hancur, binasa, tidak kekal)
2. Ikhtiyari (manusia hanya mampu berusaha memilih dan tetap tertakluk pada kekuasaan ALlah)
3. Tidak memberi bekas atau kesan atas apa yang dibuatnya. - contoh : perbuatan manusia makan nasi tidak akan memberi kekenyangan kecuali atas kekuasaan ALlah yang memberi kenyang.
4. Berharap pada yang lain. - contoh : Manusia memerlukan pertolongan, alat bantuan, pancaindera, dan amat bergantung kepada ALlah.
5. Ada batasan.

***

Qudrah ALlah ta'ala yang menentukan keberkesanan usaha dan ikhtiyar manusia. Walaupun manusia mempunyai daya akal dan daya tenaga dengan berbagai-bagai penciptaan. Namun daya manusia tidak dapat memastikan keberkesanannya.

Belum tentu apa yang dibuat oleh manusia berjaya, memberi kesan, dapat mengubah sesuatu. Bahkan banyak yang dilihat adalah kegagalan dan akhirnya hancur binasa. Sekiranya berjaya ia adalah dengan izin ALlah. Ini kerana manusia adalah amat lemah. Kita kenyang kerana ALLah yang memberi kita kenyang, kita sakit dan memerlukan ubat sedangkan ubat dan apa jua tidaklah memberi kesembuhan melainkan kekuasaan ALlah yang memberi kesembuhan. Lihatlah berapa ramai yang tidak sembuh dari sakitnya. Ada manusia yang ingin mengubah wajahnya agar menjadi cantik, tetapi cantiknya itu akan pudar juga dan pasti akan hancur bila berada di dalam kubur. Sedang kecantikan itu tiada manfaat pada dirinya di alam kubur.

Manusia berusaha mencari jalan agar berumur panjang, bahkan ada juga yang tidak mahu memikirkan kematian kerana terlalu disibukkan dengan dunia. Malangnya kematian sentiasa berlaku tanpa mengira masa, kerana kekuasaan-Nya yang mencabut segala kelazatan yang ada pada diri kita.

Oleh itu, yang menentukan kejayaan hidup manusia bukanlah manusia atau alat-alat ciptaannya, tetapi ALlah ta'ala. Sebab itu kita berusaha bersungguh-sungguh, dengan bersungguh-sungguh kita berdoa dan bertawakal kepada ALLah ta'ala supaya matlamat kita tercapai menurut ketentuan-Nya.

http://jarumemas.blogspot.com/

Thursday, July 24, 2008

Ambil Pengajaran Israk & Mikraj

oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj yang ada disebut dalam ayat pertama surah al-Israk tidak lama lagi. Mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan yang datang sekali setahun dalam bulan hijriah. Ia bagaikan dinanti-nanti oleh pencinta agama Islam, kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan.

Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah s.a.w. Ia juga dianggap salah satu komponen daripada 'Sirah Nabawiyyah', yang bermaksud: Sirah Nabawiyyah adalah pelaksanaan Islam secara praktikal dan contoh tepat dalam menegakkan sebuah negara Islam - Syeikh Munir Muhammad al-Ghadban / Al-Manhaj al-Haraki Li as-Sirah an-Nabawiyyah, juzuk 1, Maktabah al-Wafa', Mansoorah, Mesir � 1986.

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan ketetapan tarikh berlakunya peristiwa penting itu. Menurut Ibn Ishaq ia berlaku selepas 10 tahun baginda dilantik menjadi Rasul. Az-Zuhri pula berpendapat ia berlaku setahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah iaitu pada bulan Rabiul Awal, sementara as-Saddi menegaskan ia berlaku pada bulan Rabiul Awal, 16 bulan sebelum baginda berhijrah. Ada pun al-Hafiz Abdul Ghani Ibn Surur al-Maqdasi berpendapat ia berlaku pada 27 Rejab sebelum penghijrahan baginda ke Madinah.

Sementara Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat, bahawa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj terdapat banyak pembohongan dan riwayat palsu yang boleh menggugat kedudukan iman Muslim, kerana peristiwa tersebut tidak berlaku pada bulan Rejab berdasarkan penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani, di mana ia tidak berlaku pada malam 27 Rejab kerana ia tidak disokong dengan hadis-hadis Sohih atau pun kata-kata Sahabat yang Sohih.

Itulah juga pendapat Imam an-Nawawi daripada mazhab Imam as-Syafie dan Imam Abu Ishaq yang berpendapat bahawa Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rabiul Awal. Justeru tiada nas yang menyebut keistimewaan beramal pada hari tersebut, sama ada dengan ibadat puasa atau yang lain, kerana puasa pada hari yang tidak jelas bila berlaku peristiwa itu adalah sebahagian daripada perkara bidaah, kerana tiada nas yang jelas menyuruhnya, tetapi jika kebetulan ia jatuh pada hari Isnin atau Khamis, puasa yang dilakukan itu dibolehkan kerana Nabi sering melakukannya.1

Tetapi apa yang penting diambil iktibar daripada peritiwa itu, ialah pengajaran mengenai perjalanan baginda dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan mikraj Rasul hingga ke langit ketujuh (Sidratul Muntaha).2

Adapun berpuasa sunat pada bulan Rejab secara umumnya adalah sesuatu digalakkan berdasarkan satu hadis do'if yang disebut oleh Imam as-Suyuti daripada Ibnu Abbas, baginda bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, dia bagaikan berpuasa satu bulan, sesiapa yang berpuasa tujuh hari, maka dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka (kerana ia telah ditutup buatnya), sesiapa yang berpuasa sepuluh hari, maka segala kejahatannya diganti dengan segala kebaikan." 3

Adakah Israk berlaku dengan roh dan jasad Nabi?

Musuh-musuh Islam terutamanya di kalangan Orientalis barat, telah meletakkan jarum-jarum mereka dalam penulisan buku-buku sejarah dan sirah baginda Rasulullah s.a.w. Ia bertujuan agar umat Islam yang membacanya akan terkeliru dengan fakta sebenar mengenai perjalanan Israk dan Mikraj.

Mereka berpendapat, bahawa peristiwa Israk dan Mikraj hanya berlaku dalam mimpi baginda, iaitu hanya dengan roh sahaja dan tidak dengan jasad sekali, itu hanya dakwaan Muhammad semata-mata.

Namun bagi para ulama pula, mereka sepakat menyatakan bahawa Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas baginda Rasulullah s.a.w. dengan roh dan jasad sekali, tidak hanya dengan roh seperti yang didkawa oleh musuh-musuh Islam.

Ini kerana mereka berpendapat, bahawa ungkapan perkataan 'hamba-Nya' dalam ayat pertama mengenai Israk merangkumi roh dan jasad pada diri seorang insan khususnya Nabi Muhammad s.a.w., sedangkan ia berlaku hanya dengan roh sahaja adalah berdasarkan riwayat-riwayat palsu yang sengaja untuk melemahkan keperibadian Rasulullah.

Sedangkan terdapat riwayat menunjukkan bahawa baginda menerima pensyariatan ibadat solat lima waktu secara langsung daripada Allah SWT adalah dengan roh dan jasad, itulah satu-satu ibadat khusus yang diberikan Allah secara langsung kepada baginda berbeza dengan ibadat-ibadat lain.

Program masjid ke masjid menjadi ukuran hiburan baginda

Peristiwa Israk dan Mikraj berdasarkan penjelasan para ulama berlaku sebelum penghijrahan baginda ke bumi Madinah. Ia sebagai satu pendekatan Allah untuk menghiburkan Nabi-Nya yang kehilangan dua tonggak kekuatan dakwah baginda, iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri tercinta iaitu Sayidatina Khadijah.

Sebagai manusia, baginda juga merasa sedih dan pedih dengan kematian dua orang penting yang banyak berjasa dalam mengembangkan sayap-sayap Islam di Makkah, namun Allah SWT mahu baginda terus berhubung kepada-Nya dalam keadaan yang penuh dengan kesedihan dan kemurungan.

Maka Allah Yang Maha Bijaksana telah merancang satu program berbentuk keagamaan, iaitu program masjid ke masjid, iaitu daripada Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin, inilah contoh terbaik satu bentuk hiburan bagi menghilangkan perasaan gundah gulana yang dialami baginda selepas kematian dua tokoh terpenting.

Ia berlaku dalam semalaman sahaja yang menandakan bahawa Allah mampu bertindak demikian, walaupun ramai di kalangan manusia tidak mempercayainya malah menafikannya, sehingga pada waktu itu datang Abu Bakar as-Siddiq tanpa mengambil masa panjang terus mengiyakan peristiwa berkenaan.

Hasil daripada program masjid ke masjid

Yang paling penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj, ialah baginda menerima kewajipan solat lima waktu yang dijemput Allah secara langsung di langit yang ketujuh.

Walaupun pada peringkat awal, Allah mewajibkan 50 waktu solat yang dijangkakan bahawa umatnya tidak mampu untuk melakukannya atas nasihat Nabi Musa a.s, maka baginda terus melakukan tawar menawar dengan Allah agar dikurangkan kepada jumlah yang sedikit.

Baginda berjumpa dengan Allah dengan merayu kepada-Nya supaya ia dikurangkan, dengan perasaan malu baginda tetap berjumpa Allah sehingga ia dikurangkan kepada lima waktu, itulah pengorbanan dan ingatan baginda terhadap umatnya.

terdapat di kalangan umatnya tidak berterima-kasih kepada baginda kerana sanggup meninggalkan solat fardu berkenaan, walaupun kita hanya melakukan lima waktu, tetapi diganjari dengan lima puluh pahala, berbeza dengan umat terdahulu, lima puluh waktu solat hanya diganjari satu pahala setiap solat. Inilah kelebihan kita sebagai pengikut dan umat Nabi Muhammad, tetapi mengapa masih ramai yang mengabaikan tanggungjawab ini, sedangkan solat adalh perkara pertama yang ditanya oleh Allah pada hari Qiamat, tidak yang lain.

Baginda mengimamkan solat nabi-nabi sebelum dimikraj

Baginda Nabi Muhammad s.a.w. sebelum berangkat dengan 'Buraq' untuk menuju langit ketujuh, menjadi imam solat kepada nabi-nabi terlebih dahulu, antaranya Nabi Musa a.s., ia berdasarkan sebuah hadis, di mana baginda bersabda: "Jika Musa bin Imran diutus di kalangan kamu, maka tiada sebab dia menjadi salah seorang pengikutku."

Suasana solat berjemaah yang diimamkan oleh baginda nabi Muhammad s.a.w. itu menunjukkan bahawa para nabi semuanya akur terhadap kedudukan baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah.

Mereka bersalaman antara satu sama lain sebagai tanda kesyukuran dan simbolik menyerahkan tugas kerasulan kepada Nabi Muhammad s.a.w., ia juga sebagai satu petanda betapa hubungan antara Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa begitu intim dan akrab, apatah lagi majoriti para nabi di kalangan Bani Israil yang merupakan kiblat pertama umat Islam di muka bumi ini, selain menjadi syiar agama Islam terdahulu.

Ia juga menunjukkan bahawa kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w sebagai Nabi terakhir diperakui oleh Allah, sebagaimana yang ditegaskan menerusi beberapa ayat al-Quran mengenainya.4

Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa?

Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para Anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk.

Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para Anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.5

Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka.

Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat.

Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas.

Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.6

1 Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, soal jawab dalam Islamonline.net 17/8/06 (Puasa pada 27 Rejab)

2 Ibid - soal jawab dalam Islamonline.net 9/7/08 (Benarkah Israk berlaku pada malam 27 Rejab.

3 Syeikh �Atiah Saqar � soal jawab agama di Islamonline 17/7/2007 (Puasa pada bulan Rejab)

4 Syeikh Jaafar Ahmad at-Talhawi � soal jawab agama dalam Islamonline.net 30/8/04 (Kepimpinan baginda Rasulullah terhadap para Anbiya pada malam Israk dan Mikraj).

5_____al-Qaradawi � soal jawab agama dalam islamonline.net 8/8/07 (Pengajaran penting daripada peristiwa penting Israk dan Mikraj).

6 _____Ibid. - lanh _

LinkWithin

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP