Thursday, July 8, 2010

Menelusuri Falsafah Israk dan Mikraj

Mafhum Firman ALLAH S. W. T. :

“Maha Suci ALLAH yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

(Surah Al-Israa’: Ayat 1).

PERISTIWA Israk dan Mikraj (perjalanan Rasulullah s.a.w. dari Masjidilharam menuju Masjidilaqsa, kemudian mikraj ke Sidratul Muntaha) yang diabadikan di dalam al-Quran merupakan satu proses pengukuhan dan penyucian spiritual Rasulullah pada masa lalu, sekali gus menjadi ‘peristiwa agung’ yang mengandungi makna yang besar untuk dihayati oleh umat baginda pada masa kini.

Meskipun terdapat jurang perbezaan pendapat yang agak luas mengenai sejarah peristiwa Israk dan Mikraj, terutama yang berkaitan dengan ketepatan hari dan bulan serta tahun terjadinya peristiwa agung itu, namun dunia Islam keseluruhannya memperingati tarikh 26 Rejab (malam 27 Rejab) setiap tahun sebagai tarikh penuh bermakna.

Realiti sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun daripada kalangan orang-orang musyrik dan kafir yang percaya akan kejadian Israk dan Mikraj ini. Para ulama merumuskan bahawa sebab dan hikmah daripada Israk dan Mikraj adalah untuk menghibur diri Rasulullah yang ketika itu dilanda kesedihan kerana kematian bapa saudara yang tersayang, Abu Talib serta isteri kesayangan baginda, Khadijah, juga di samping penentangan masyarakat Taif terhadap usaha dakwah baginda yang hampir-hampir meragut nyawa baginda.

Al-Ghazali menjelaskan bahawa kita semua telah memahami bahawa hasil daripada Israk dan Mikraj telah memperlihatkan sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah yang teragung, meskipun hal itu terjadi dua belas tahun setelah pengangkatan (penobatan) Muhammad bin Abdullah sebagai Nabi dan Rasulullah s.a.w.

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan suatu ‘perjalanan agung’ yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa takwa dan keimanan terhadap Allah menerusi sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada Junjungan Besar Muhammad. Oleh hal yang demikian itu, sebarang percanggahan pendapat mengenai peristiwa tersebut harus dilihat dari sudut keimanan dan ketakwaan, bukan terus-menerus memperdebatkannya dengan menggunakan logik akal semata-mata kerana ilmu manusia tidak akan dapat menyaingi ilmu Allah. Dia Maha Agung dan Maha Mengetahui akan setiap apa yang dicipta dan dikehendaki-Nya. Wallahua'lam.

0 comments:

LinkWithin

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP